Tujuh dekad terajui industri penyiaran, RTM terus pertingkat mutu perkhidmatan

KUALA LUMPUR: Bakal menyambut ulang tahun ke-75 pada 1 April nanti, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bukan sahaja dikenali sebagai peneraju industri penyiaran negara bahkan turut dihormati dan disegani di peringkat dunia.

Buktinya, atas kepercayaan organisasi dan pertubuhan media antarabangsa, RTM seringkali mendapat hak penyiar rasmi penganjuran acara berprestij antaranya Mesyuarat Agung pertama Persatuan Penyiaran Komanwel Asia 1996, Sukan Komanwel 1998, Hoki Piala Dunia 2002, Kejohanan Badminton Dunia 2007, Sukan Asia Tenggara 2017 dan yang terbaharu Kejohanan All England 2021.

RTM juga antara lain pernah menerajui pimpinan tiga organisasi antarabangsa – Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU), Commonwealth Broadcasting Association dan Public Broadcasters International.

Kerjasama dalam penerbitan dan latihan dengan organisasi media luar negara seperti BBC (United Kingdom), NHK (Jepun), KBS (Korea), Media Corporation (Singapura) dan media lain ASEAN membuktikan RTM seiring dengan pemain industri dunia.

Cipta Jenama Sendiri

Ironinya, mencipta jenama tersendiri selama lebih tujuh dekad dengan status badan penyiaran pertama negara bukanlah sesuatu yang mudah.

Menyifatkan kejayaan demi kejayaan yang dicipta RTM adalah hasil kerjasama dan pengorbanan setiap warganya tanpa mengenal kenal erti jemu untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam program TV, radio mahupun transformasi digital, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ruzain Idris berkata ia juga adalah berpandukan Pelan Strategik Jabatan Penyiaran 2016-2020 dan Pelan Strategik 2021-2025 yang kini pada peringkat akhir dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menurut beliau pelan itu antaranya memberi fokus kepada agenda transformasi dan transisi penyiaran RTM daripada analog ke digital serta langkah-langkah holistik yang perlu berdasarkan keperluan dan kehendak pendengar dan penonton semasa.

“Suka atau tidak sistem penyiaran kita perlu berubah untuk terus kekal relevan sebagai media utama kerajaan. Jika sebelum ini kita mungkin tidak pernah terfikir akan adanya media baharu namun kini semuanya telah wujud malah ia menjadi pilihan utama rakyat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di Angkasapuri di sini, baru-baru ini.

Berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh Reuters Institute for the Study of Journalism pada 9 November 2019, RTM ialah pertubuhan media yang paling dipercayai di Malaysia.

Mengulas perkara itu, Ruzain berkata antara resipi kejayaan ialah warga RTM sentiasa fokus dalam melaksanakan tugas sebagai penyampai maklumat kerajaan selain berpegang kepada prinsip bahawa laporan berita yang disiarkan mestilah benar dan sahih selaras dengan slogan berita RTM iaitu ‘Yang Sahih di Berita RTM’.

“RTM juga mempunyai jaringan kerjasama erat dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan yang lain dan di situ kita mempunyai kelebihan untuk mendapatkan maklumat yang paling tepat dari sumber utama.

“Petugas RTM juga sering dijemput oleh rakan-rakan penyiaran lain bagi tujuan berkongsi pendapat dan idea dalam bengkel penerbitan tidak kira sama ada di dalam mahupun luar negara. Pengalaman dalam bidang penyiaran menjadi faktor kami sering diberi kepercayaan untuk menjadi penceramah dan sentiasa menjadi rujukan rakan media lain,” katanya sambil menambah RTM juga adalah sebahagian daripada ABU dan Asia-Pacific Institute for Broadcasting Development (AIBD).

Kilang ikon negara’

Tidak hanya tertumpu kepada aspek laporan dan penyampaian berita, RTM pada masa sama turut cemerlang dalam melahirkan nama-nama besar industri hiburan tanah air yang seterusnya menjadi ikon negara melalui program kendaliannya.

Antaranya termasuklah melalui rancangan realiti TV Bintang RTM yang diterbitkan sekitar awal 1959 (pada awalnya dikenali dengan nama Bintang Radio) yang mengetengahkan lagu-lagu berentak tradisional seperti langgam, asli dan keroncong.

“Pada 1964, Bintang Radio telah memulakan siaran pertamanya di TV, selain TV Malaya pula muncul untuk mencari bakat-bakat baru bagi pertandingan Bakat TV. Sambutan yang diterima amat memberangsangkan sehinggakan Malaysia Book Of Records pernah menamakan program ini sebagai pertandingan nyanyian paling lama bertahan dalam industri muzik negara.

“Seterusnya pada 1973, istilah ‘Bintang RTM’ mula digunakan selepas program Bakat Radio dan Bakat TV diselaras dan digabungkan. Pertandingan peringkat akhirnya yang pertama telah disiarkan pada 26 Februari 1974 dan terus menjadi acara tahunan serta telah melahirkan ramai nama-nama besar seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Jamal Abdillah, Rohana Jalil, Ramlah Ram termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Muzik RTM yang juga merupakan konduktor muzik dan penggubah lagu terkenal tanah air Datuk Mokhzani Ismail ketika dihubungi Bernama berkata beliau amat berbangga menjadi sebahagian daripada stesen penyiaran itu dan telah berkhidmat hampir 30 tahun.

Mokhzani yang merupakan anak jati Perlis bukan sahaja membanggakan seluruh warga RTM bahkan rakyat Malaysia apabila diberi kepercayaan memimpin Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) untuk komposer dan pemain trompet terkenal Amerika Syarikat, Chris Botti pada 2011.

“Di sinilah tempat saya belajar ‘jatuh bangun’ dalam industri seni muzik khususnya selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah di Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat pada 1990. Pada 1993 saya diberikan tanggungjawab untuk memimpin Orkestra RTM (ORTM) untuk Konsert Senada Seirama dari Medan, Indonesia. Seterusnya pada 1999, saya telah dikurniakan rezeki untuk berkhidmat sebagai Pengarah Muzik RTM.

“Pada 2015 saya berjaya memegang dua rekod Malaysia sebagai pemuzik pertama menjadi duta produk antarabangsa piano Jerman berjenama Hagspiel serta menjadi pemain piano pertama membuat persembahan secara langsung dari Great Wall di Berlin,” katanya sambil berkongsi 1 April ini juga merupakan ulang tahun ORTM yang ke-60.

Tambah beliau, album pianonya ‘The Great Wall Comes Alive’ berjaya diterbitkan pada 2016 serta pernah menerima anugerah ‘Icon Leadership Award’ daripada BrandLaureate selain turut melakar sejarah baharu menggabungkan tiga orkestra iaitu MPO, Orkestra Simfoni Kebangsaan (NSO) dan ORTM untuk memainkan lagu tema Hari Kebangsaan ciptaannya, ‘Malaysia Prihatin’.

Selain Mokhzani, nama-nama ikon lain yang turut dilahirkan RTM termasuklah penyampai berita terkenal Datuk Harjit Singh Hullon, Allahyarham Farit Ismeth Emir serta penerbit TV terkemuka Suhaimi Jamalim.

RTM akan datang

Dalam pada itu Ruzain ketika ditanya berhubung RTM 10 tahun akan datang berkata, perkara utama yang perlu diberi penekanan ialah memastikan RTM kekal relevan serta dapat melaksanakan peranannya sebagai sebuah agensi kerajaan yang menyebarluas program, polisi sekali gus menjadi ‘lidah’ kerajaan.

“Kita akui masih ramai sebenarnya rakyat yang mungkin tidak tahu atau terlepas pandangan pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan. Untuk itu kita perlu memanfaatkan transformasi era digital hari ini dan bergerak sejajar dengan perubahan teknologi semasa agar masyarakat lebih cakna dan maklum akan sebarang polisi dan usaha yang cuba digembleng kerajaan.

“Kita turut memanfaatkan platform media sosial seperti Facebook untuk mengetahui maklum balas pengguna termasuk melalui aduan yang disalurkan ke kotak aduan digital untuk tujuan penambahbaikan setiap isi kandungan program supaya menjadi lebih kreatif, berkualiti dan menepati kehendak masyarakat,” katanya sambil menambah RTM merancang mewujudkan sebuah siaran khas TV sukan dan siaran TV khas retro yang dikenali sebagai TV6 yang bakal menyiarkan rancangan TV klasik yang telah dipulihara dan didigitalkan.

Ruangan sisi sejarah RTM

RTM memulakan siaran pertamanya sebagai sebuah stesen radio di lokasi sementara yang terletak di Bangunan Persekutuan seawal tahun 50-an sebelum berpindah ke Bukit Putra atau lebih dikenali sebagai Angkasapuri pada penghujung 60-an.

Pada 1963, saluran pertama televisyen RTM diperkenalkan dan mula membentuk pemikiran serta menyatukan rakyat seiring dengan peranan radio memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional.

Sinergi kedua-dua medium itu berjaya menggarap keunggulan RTM sehingga saban tahun melahirkan bakat-bakat seni industri kreatif negara serta berjaya melonjakkan nama RTM sebagai jenama yang dicontohi dan disegani.

Peralihan era TV hitam putih kepada TV warna Pada 1978 memberi nilai tambah kepada penonton.

Seterusnya pada 7 Mei 1979, saluran kedua televisyen RTM dilancarkan sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada penonton dan karyawan.

RTM bukan sahaja menjadi agen integrasi, tetapi turut menjadikan industri penyiaran satu komoditi seni kreatif.

Sepanjang lebih tujuh dekad mempelopori industri penyiaran negara pelbagai cabaran berjaya diatasi, banyak nostalgia tercipta dan dikongsi bersama.

Setanding dengan stesen penyiaran serantau, RTM turut berazam melestarikan kecemerlangan prestasi melalui proses transformasi minda dan kemahiran tinggi sebagai bekal persaingan di pentas penyiaran antarabangsa. – Bernama

Get link

xoonews.com